Pageviews past week

Tuesday, January 25, 2011

Wahai Kaum Muslimin Masuk Islam Secara Kaffah Terjemahan Tafsir 2:208

Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan jangan kamu mengikuti jejak langkah Syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagi kamu
[Al-Quran 2:208]

Bayangkan di satu suasana anda sedang memakan nasi berlaukkan daging, berulamkan petai dicecah dengan sambal tempoyak atau budu atau cencaluk. Sedang sedap melahap itu tiba-tiba seorang kawan datang dan memberitahu bahawa daging yang anda makan itu adalah daging khinzir goreng. Bila terdetik sahaja perkataan BABI itu, bulu roma meremang dan anak tekak merasa loya. Anda pasti akan menjolok-jolok jari ke anak tekak untuk mengeluarkan makanan yang haram itu dari masuk ke dalam perut, kerana takut menjadi darah daging yang akan dibakar Neraka kelak. Ini Islam selalu memandang bahawa yang haram itu zat sahaja.

Namun bila kita sebutkan wang daripada sumber lain yang sama-sama haram, dari sumber riba dan sebagainya. Umat Islam alpa dan tidak ada lagi muntah-muntah dan tidak ada orang yang akan menjolok anak tekaknya bila tahu wang pendapatannya adalah dari hasilan riba. Kenapa? Kerana umat Islam telah lali dan emosinya terhadap dosa riba dan sebagainya, keharamannya sudah pudar. Bila berbincang bab riba, semunya hujah pasti keluar untuk menghalalkan riba ini. Begitu juga dengan akad Muamalah yang lain seperti Rasuah dan sebagainya. Bayangkan mahu pemilihan agung parti pun ada rasuah, yang paling parah lagi adanya 'rasuah moral'. Perempuan mesti menyerahkan tubuhnya untuk mendapatkan visa dan sebagainya, kenapa wang yang haram ini tidak pernah dipandang keji oleh Umat Islam hari ini? Ini kerana perasaan dan pemikiran mereka telah terbius dengan ideologi kapitalisme.

Oleh kerana telah terbiasa dengan cara hidup kapitalis, kaum Muslimin hari ini telah menjadi asing untuk mengamalkan ajaran Islam. Mereka seolah-olah sukar untuk memasukkan diri menjadi orang Islam yang tidak mencampuradukkan sistem kehidupannya selain dari Islam. Bayangkan orang Islam yang sering berulang-alik ke Masjid berulang-alik ke sana mengejar amalan sunat dan ganjaran pahala berlipat ganda. Namun dalam pada itu mereka tinggal di rumah yang dibeli dengan riba dan kereta yang mereka naiki ke Masjid tidak terkecuali masih lagi tersisa pinjaman ribanya. Sedangkan riba adalah tunjang (rukun) pendapatan dalam sistem ekonomi kapitalis. Apabila diseru untuk mengikuti hukum-hakam Islam bermacam-macam dalih yang kita terima.

Pada Zaman Dahulupun begitu juga, ada para Sahabat daripada kaum Yahudi memeluk Islam mereka, lantaran lamanya mereka berada dalam agama Yahudi, maka apabila turun ayat yang menghalalkan memakan lemak dan daging unta, mereka merasa jijik dan cuba menjauhi diri dari memakannya.Kata mereka Taurat itu juga Kitab Allah. Menanggapi persoalan ini Allah mernurunkan ayat Al-Quran, dan dengan turunnya ayat ini memberi teguran yang bersifat tegas kepada mereka secara sebab penurunan dan secara umum kepada kaum Muslimin kerana keumuman lafaznya.

Marilah kita melihat dengan jelas pentafsiran yang Jelas oleh Dr Wahbah Zuhailai dalam kitab Tafsir Al-Wasithnya.

Ikutilah Hukum-hakam kesemuanya

Islam dan hukum-hakamnya adalah agama Allah dan syariatNya yang tidak boleh dijuzuk-juzukan dan dicampuradukkan dengan yang lain, Ini berfungsi sebagai payung pelindung dari kesesatan dan penyimpangan dan yang jahat dan buruk , juga pelindung kepada kerugian dan kemudaratan. Maka Muslim sebenar adalah mengikuti agamanya secara keseluruhan, dan berpegang kepada setiap apa jua yang disyariatkan dalam Al-Quran, menghalalkan apa yang dihalakannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya.

Oleh sebab itulah Allah memerintahkan untuk kaum Muslimin dan non-Islam, untuk menyerahkan diri kepada Allah Taala dan mereka mentaatinya secara zahir mahupun batin, dan masuk ke dalam agama Islam keseluruhannya, dan jangan dicampuradukkan dengan selainnya. Firman Allah (2:208) [1-Islam Wa Syariah]

Yang dimaksudkan dengan 'Silmi' dalam ayat ini adalah Islam, kewajipan terhadap orang yang beriman dengan Ajaran Islam, adalah mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan dari cabang dan hukum-hakamnya, maka tidak beriman orang yang mengamalkan sebahagian daripada hukum-hakamnya seperti solat dan puasa sebagai contohnya. Dalam pada itu mereka meninggalkan sebahagian hukum-hakam yang lain seperti zakat, jihat, pemerintahan berlandaskan Kitab Allah dan Hududnya, meninggalkan yang haram secara keseluruhannya, melarang khamar dan riba, zina, rasuah dan kezaliman.

Ibnu Abbas berkata, Ayat ini diturunkan kepada Abdullah bin Salam dan sahabat-sahabatnya, lantaran mereka semasa beriman dengan kerasulan Muhamad SAW, mereka juga tetap mengimani syariat Muhammad dan Syariat Nabi Musa, mereka tetap memuliakan hari Sabtu, mereka enggan memakan daging unta dan susunya sesudah Islam, perkara ini ditentang oleh kaum Muslimin. Mereka menjawab, aku menjaga diri terhadap barang ini dan barang itu, mereka berkata kepada Nabi SAW, sesungguhnya Taurat itu Kitab Allah, maka biarkan sahaja kami melakukannya, maka Allah menurunkan ayat ini (Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya….2:208)

Kemudian Allah mengancam dengan ayat yang berikutnya dengan seksaan kepada orang agresif dari kebenaran, melakukan bidaah dalam dari Islam, sesudah sahaja datang ayat yang terang dan hujah yang jelas, Namun tidaklah golongan ahli bidaah ini dari syariah Allah, terkeluar dari perintah Allah melainkan azab Allah, dan dia mendatangkan Malaikat sebagai man yang ketentuan takdir dan iradat dari Allah SWT.


Semoga terjemahan 'bebas' ini dapat dimanfaatkan oleh pendakwah dan kaum Muslimin yang lain. Wahai pembaca budiman masuklah Islam secara keseluruhan....

No comments: